Falsafah Pendidikan Saya



Semua guru harus bertanggungjawab ke atas kerjaya mereka sebagai seorang guru dengan tidak mengambil kira latar belakang murid dan juga kelas manakah yang diajar. Sebagai seorang guru, saya berpegang dengan pemikiran bahawa semua murid adalah sama dan mereka mempunyai peluang yang sama untuk belajar. Jadi, layanan yang adil perlu diberikan kepada setiap murid.

Setiap murid mempunyai gaya pembelajaran mereka yang tersendiri dan juga bakat mereka yang tersendiri. Sebagai seorang guru, kita tidak patut memandang rendah ataupun mengabaikan murid yang dianggap lemah dalam pembelajaran. Mereka mungkin kurang dalam pembelajaran, tetapi mempunyai bakat diri mereka. Peranan kita adalah membantu dalam mencungkil bakat mereka, memberi motivasi kepada mereka agar memupuk minat mereka dan meningkatkan keyakinan mereka. Murid yang mempunyai kepercayaan ke atas keupayaan kendiri dan yang bermotivasi akan bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka dan seterusnya memperolehi kejayaan.

Sebagai seorang pendidik, tanggungjawab kita bukan sahaja menyebarkan ilmu, tetapi juga membina modal insan yang berkualiti. Semasa kita menyebarkan ilmu yang ada pada diri kita, kita juga harus memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh kita dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi emosi, jasmani, rohani dan intelek. Jadi, semasa mengajar, saya akan menyemai nilai-nilai bertanggungjawab ke atas diri mereka, ke atas ibu bapa dan masyarakat dalam kalangan murid.  Selain itu, kita juga harus memastikan strategi dan kaedah yang digunapakai dalam proses pengajaran dan pembelajaran menyediakan peluang kepada para murid berfikir secara kreatif dan kritis, agar dapat melahirkan insan yang berupaya berhadapi dengan dunia abad ke-21.

Sebagai seorang pendidik, pedagogi dan juga pengetahuan kandungan dalam bidang yang diajar perlu kita kuasai dengan baik agar proses pengajaran dan pembelajaran boleh berjalan dengan lancar dan murid mendapat manfaat yang maksimum daripada pengajaran kita. Saya harus mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat membekalkan diri saya dengan maklumat yang terkini.

Terdapat pelbagai jenis murid yang akan kita temui, perangai yang mereka tunjukkan juga berlainan. Kita harus mengawal emosi kita semasa berhadapan dengan murid kita. Kita perlulah mengajar dengan penuh kesabaran, dengan hati yang mulia dan juga dengan penuh semangat.

Kejayaan seseorang murid bergantung kepada latar belakang murid, perangai murid dan juga personal seseorang guru. Sebagai seorang guru, saya perlu sentiasa membuat refleksi ke atas tindakan yang telah diambil oleh diri saya dalam pengajaran saya, mengambil kira kelemahan dan kekuatan yang ada, dan seterusnya membuat penambah baikan ke atas diri saya.


CHAI SIEW LIAN

M20131000458 

No comments:

Global Warming Is Getting Worse Everyday Let's Do Something

Biology Group A